Kebolehan Nabi Isa mengetahui perkara ghaib
Kebolehan Nabi Isa mengetahui perkara ghaib
SEJAK kecil, Nabi Isa menunjukkan sifat-sifat mulia berkat asuhan dan didikan ibu baginda, Maryam. Baginda merupakan seorang kanak-kanak yang bijak yang mana ia melebihi kawan-kawan sebaya, malah melebihi orang dewasa.
Baginda membesar dan menjadi kanak-kanak yang sihat. Baginda juga merupakan kanak-kanak yang periang dan peramah sehingga mendapat ramai kawan.
Nabi Isa tidak pernah menyakiti hati kawan-kawannya. Pada suatu hari, Nabi Isa bermain teka-meneka dengan kawan-kawannya.
Baginda meneka dengan tepat apa saja yang ditanya oleh kawan baginda.
Baginda bertanya kepada salah seorang kawan: "Tahukah engkau makanan apa yang ibumu sembunyikan?"
"Tidak. Apa yang disembunyikan oleh ibuku?" tanya kawannya itu tidak sabar-sabar lagi.
"Pagi tadi, ibumu ke pasar. Dia membeli buah epal, tetapi dia tidak mahu kamu mengambilnya. Lalu disembunyikannya," cerita Nabi Isa.
Tanpa berlengah lagi, kawan baginda itu terus berlari pulang. Dia segera menemui ibunya yang sedang memasak.
"Ibu, saya mahukan makanan yang ibu sembunyikan daripada saya," kata budak itu.
Ibunya kehairanan. Dia terus bertanya, "Makanan yang ibu sembunyikan?"
"Epal. Ibu sembunyikan buah epal daripada saya," jawab budak itu.
Ibunya pelik bagaimana anaknya mengetahui semua itu. Sewaktu dia menyembunyikan makanan itu, tiada sesiapa melihatnya atau ada orang yang terlihat.
"Siapakah yang memberitahu kamu?" soal ibu budak itu.
"Isa putera Maryam," jawab anaknya.
Setiap hari ada saja kawan-kawan Nabi Isa bertanya kepada baginda tentang makanan yang disembunyikan oleh ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka hairan dan kagum dengan kemampuan Nabi Isa mengetahui perkara-perkara ghaib itu.
Nabi Isa kelihatan bersungguh-sungguh apabila mempelajari sesuatu. Segala yang dipelajari dapat dikuasai baginda dengan baik. Semua guru kagum dengan kepintaran Nabi Isa.
Ketika berumur 12 tahun, Maryam membawanya ke Baitul Maqdis. Baginda tidak suka tinggal di Baitul Maqdis. Orang-orang di sana suka berfoya-foya dan membuang masa. Mereka langsung tidak membuat kerja-kerja yang berfaedah.
Baginda pula suka belajar. Waktu baginda dipenuhi dengan belajar. Baginda mencari guru untuk belajar agama. Baginda juga gemar menghadiri majlis agama dan suka bertanya sekiranya tidak tahu.
Kerap pula baginda berdebat kalau baginda merasakan sesuatu perkara itu tidak benar. Cara ini tidak digemari oleh ulama dan pendeta kerana sikap membantah Nabi Isa itu.
Namun begitu ramai yang mahu berkawan kerana baginda tidak pernah membeza-bezakan kawan-kawannya.
Ulasan
Catat Ulasan