Pok Mud's Menjawab: Ebek, gerong pilih udang hidup


Soalan:
Saya ingin tahu aspek memancing di pantai khususnya memburu ikan ebek dan gerong belang membabitkan soal umpan terbaik, saiz perambut, panjang perambut, saiz mata kail dan masa memancingnya.

Pok Mud's JAWAB: 
Gerong belang dan ebek adalah ikan yang hampir berkongsi habitat sama. Ini kerana ebek dijumpai perairan pesisir pantai hingga ke laut dalam manakala gerong belang lebih tertumpu kepada pesisir pantai dan tepian pulau saja.

Oleh kerana ia adalah spesies keluarga ikan yang sama maka sifat dan tabiat pemakanan juga seiring. Umpan terbaik – apa-apa saja ibkan dan udang segar adalah baik untuk ikan ini. Kedua-duanya terlalu cerewet pasal umpan. Sebab itu, udang hidup dianggap umpan nombor satu. 

Jenis udang sesuai ialah udang kertas, udang pasir dan udang ekor hijau. Selain itu udang lipan, udang kolam(ternak),udang kerai dan udang harimau hidup boleh digunakan sebagai pilihan.

Umpan kedua terbaik ialah, sotong cumit hidup tetapi sukar bagi pemancing pantai mendapatkan bekalan sotong hidup. Selain itu,ketam angin dan ikan bilis segar mungkin turut mengundang selera kepada ikan buruan pemancing pantai ini.

Saiz perambut - ia mesti kurang 30 paun jenis tangsi atau biasa. Ebek dan gerong belang amat cerewet atau berhati-hati apabila mengesan kehadiran tangsi dalam air. Lebih halus saiz perambut maka kadar sentapan dan tali putus juga tinggi kalau ikan mahu didaratkan tergesa-gesa.

Panjang perambut - bagi pemancing pantai, panjang perambut yang boleh digunakan ialah 3 hingga 5 kaki bergantung saiz joran. Jika perambut terlalu panjang, pemancing sukar untuk lontaran. 

Saiz mata kail - Saya gemar jenis O’shaunessey atau jenis batang panjang bersaiz nombor 2. Pilihan lain jenis Octopus atau mata untuk umpan hidup seperti Shino, Berkeley atau Maruto saiz 6 hingga 8. Ia bergantung kepada saiz udang yang digunakan. Jika mata kail lebih halus, guna teknik ‘gang hook’ iaitu rangkai dua atau tiga kail serentak.

Masa - ikan pesisir berenang menghampiri pantai ketika air bergerak pasang. Kalau di muara, air laut memasuki sungai maka ikan turut bergerak mengikuti arus hingga ke kuala. Awal pagi , lewat petang dan tengah malam adalah waktu terbaik memancing di pantai.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penjelasan tentang zihar

Aku kemalangan dengan ................

Tajdid Iman: Kegemilangan Islam menerusi wasyatiyah