Pertama Kali Jadi Bapa

Jumaat, 6/8/2010

     Aku di sekolah di SK Bangsar, KL pada pukul 9.15 pagi untuk bertemu kerani pejabat. Tujuanku untuk meminta kerani pejabat menaip surat borang GL untuk isteriku. Sebenarnya aku ingin balik ke kampungku pada hari ini kira-kira pukul 1.00 tengahari dengan bas untuk menemani isteriku beberapa hari di hospital. Apa yang aku pinta, aku dapat. Selepas guru besar menandatangan borang GL, terus diberi kepadaku pada jam 10.30 pagi. Aku ingin berjumpa dengan guru penyelia petang sekolahku tetapi tidak kutemui.


     Jam 12.00 tengahari, aku dihubungi oleh isteriku. Dia mengatakan yang doktor akan membuat 'operation' ke atasnya pada hari ini tetapi tidak mengetahui bila akan dimulakan. Aku terus tergesa-gesa menemui guru penyelia petang untuk meminta kebenaran balik ke kampung dengan segera. Setelah diberi kebenaran, aku terus balik ke rumah untuk persiapan balik dengan kereta.

    Pada jam 1.00 tengahari, aku terus bertolak balik. Dalam pada itu, aku memandu kereta dengan agak laju supaya cepat sampai. Aku melalui lebuhraya karak dan jalan pantai ke kuala terengganu. Tiba di jalan persekutuan iaitu jalan pantai, kenderaan agak sesak kerana pada masa itu, kebanyakan orang berpusu-pusu pulang dari kerja. Perjalananku menjadi perlahan. Akhirnya, jam 6.45 petang, aku sampai di Hospital Kuala Terengganu.

     Aku tiba di hadapan bilik bersalin, aku melihat emak, ayah dan adik perempuanku sedang menunggu. Mereka mengatakan yang mereka belum balik lagi ke rumah sejak menunggu isteriku semalam. Pada jam 8 malam, ayah dan adikku pun balik ke rumah manakala aku dan emakku menunggu isteriku bersalin. Bila tiba giliran, para petugas adan doktor memanggilku masuk untuk bertanyakan sesuatu. Aku ditanya tentang isteriku yang sepatutnya dibedah dan kesanggupanku menyetujui isteriku dibedah. Selepas aku tandatangan, aku pun keluar semula. Tidak lama kemudian, aku dipanggil masuk kembali. Aku melihat doktor, jururawat, isteriku dan juga seorang bayi. Aku diminta mengazankan dan mengiqamahkan bayi tersebut. Ini bermakna, bayi tersebut adalah anakku iaitu perempuan. Aku diberitahu bahawa anakku dilahirkan pada jam 9.38 malam dan aku mengazankanya pada jam 10.20 malam. 

     Kemudian, para jururawat keluar sambil menolak katil isteriku bersama anakku untuk dibawa ke bilik wad. Isteriku dibawa ke wad first class. Manakala anakku dibawa ke tingkat 6 iaitu tempat bayi-bayi diperiksa. Sejak pada hari itu, aku sentiasa berulang alik menemani isteriku di hospital. Dua hari kemudian, isteriku dipindahkan ke wad lain iatu wad biasa. Di sana ramai pesakit boleh dilihat. Semasa berada di sana, isteriku menjadi tertekan kerana melihat pesakit lain boleh pulang ke rumah. Hnaya isteriku saja yang tidak boleh pulang. Ini disebabkan beberapa masalah yang dialami. Semasa berada di sana, isteriku tidak boleh tidur selama 2 hari disebabkan maslah yang tidak diketahuinya sendiri. Keesokan hari, aku membawa ayah mertua untuk dibacakan sedikit doa di situ. Alhamdulillah, selepas itu, isteriku pun dapat tidur dengan baik.

     Kemudiannya, aku meminta isteriku dipindahkan ke wad first class tetapi tiada kekosongan. Jadi isteriku dipindahkan ke wad second class. Disana, dia dapat tidur dengan baik. Isteriku tertekan kerana dia tidak dapat keluar dari hospital biarpun dah memakan masa yang lama. Dia menangis dan cuba memujuk doktor memberi kelepasan padanya untuk keluar dari hospital. Akhirnya doktor memberi kelepasan.

     Akhirnya, aku ingin mengambil isteriku dari hospital. Pada hari ahad, kami bertolak dari hospital pada jam 8 malam. Itupun selepas menghantar borang GL di bahagian pendaftaran. Isteriku berada di hospital kira-kira 11 hari iaitu bermula pada 5/8/2010 sehingga 15/8/2010. Sehingga kini, alhamdulilah, isteriku masih berada dalam keadaan sihat dan gembira.









Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADIL & ZALIM

Menjaring Punai Daun dan ngobok cang

Aku kemalangan dengan ................