Maksiat Batin
Harus kita ingat, dalam memperkatakan tentang kesan-kesan negatif maksiat, kita juga harus mengetahui bahawa maksiat itu bukan sekadar maksiat zahir yang kita lakukan seperti berzina, mencuri, menzalimi orang lain, makan dari sumber yang haram, berjudi, menjual agama kerana dunia, membelakangkan hukum Allah, menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan sebagainya.
Termasuk dalam kategori maksiat atau dosa ialah maksiat batin yang kita lakukan dan ia lebih merbahaya kerana sukar dihidu. Di antaranya sifat takbur, riak, sum'ah, kikir, tidak reda dengan qada' dan qadar Allah, tidak yakin dengan rezeki yang Allah tentukan untuk setiap hamba-Nya, merasa ragu terhadap Allah dan sebagainya.
Maka wajib bagi kita mempelajari kedua-dua jenis maksiat ini bagi mengelakkan diri kita daripada terjerumus ke lembah hina tersebut.
Kemalasan dan kejahilan kita untuk mengenal agama yang kita anuti, akan menyebabkan kita berada terus berada dalam keadaan lalai dan hanyut tanpa sedar.
Lebih malang, di akhirat kelak, kita ditahan masuk syurga Allah akibat dosa dan maksiat yang kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari.
Lihatlah seperti apa yang berlaku pada hari ini. Umat Islam ditimpa musibah apabila terdapat golongan yang berani mempersendakan agama mereka dan merobek hak mutlak Allah.
Nama Allah yang teragung dipermainkan-mainkan oleh penganut agama lain sehingga Lafz al-Jalalah (kalimah teragung) digunakan dan diberikan kepada sembahan yang batil.
Lantaran kejahilan ilmu dan kedangkalan jiwa yang tidak pernah dirawat, ramai umat Islam yang terpedaya dan tidak merasa sensitif apabila maruah dan kehormatan agama mereka dipersenda.
Lantaran kedangkalan hati juga, kita mengambil tindakan yang salah untuk menangani isu ini yang akhirnya mengundang kerugian dan keruntuhan kepada umat Islam sendiri. Kita pohon perlindungan Allah daripadanya.
Ulasan
Catat Ulasan