Tajdid Iman: Kegemilangan Islam menerusi wasyatiyah

Berdakwah perlu secara sederhana, tidak terlalu berlebihan atau ambil mudah

     PROVOKASI ternyata gagal membakar kemarahan rakyat Malaysia yang semakin matang berfikir dan bertindak. Kes penemuan kepala babi di masjid dan pembakaran beberapa gereja oleh individu yang mahu menangguk di air keruh dihadapi dengan cukup berwaspada.

      Tidak seperti di sesetengah negara Islam yang amat mudah dirangsang bara permusuhan antara etnik dan agama, rakyat Malaysia cukup rasional. Mereka amat menjaga sensitiviti saudara sebangsa serta menghormati kepercayaan agama lain. Inilah kekuatan umat Islam yang sememangnya dituntut agama kita.

   Setelah membina kekuatan besar di Madinah, Rasulullah pernah ditegah memasuki Makkah untuk menunaikan umrah oleh orang kafir. Pada hal ketika itu Madinah muncul menjadi negara Islam yang semakin kuat.

   Bagaimanapun, Rasulullah akur dengan keputusan perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai bersama kafir Quraisy. Sehinggakan sahabat tidak berpuas hati dan mahu menyerang Makkah yang sudah lemah itu.

  Walaupun umat Islam ketika itu majoriti terbesar dan semakin kuat, Rasulullah tidak sewenang-wenang menyerang. Jika mereka mengajak berdamai, baginda menyambut ajakan mereka. Di sini kita melihat dakwah baginda yang cukup diplomatik. 

  Ini sesuai dengan tuntutan wahyu yang bermaksud: "Wahai orang beriman hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah menjadi saksi dengan adil dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." �Surah al-Maidah: 8

  Rasulullah juga melarang sahabat menyerang kafilah Quraisy yang lalu di kawasan mereka di luar kota Makkah kerana tindakan itu tidak mencerminkan akhlak Islam yang adil dan jujur berpegang pada perjanjian damai walaupun kepada kaum minoriti.

  Menjadi majoriti tidaklah menghalalkan umat Islam berlaku zalim bahkan Umar pernah berpesan kepada pemimpin Islam pada masa beliau bertakhta sebagai khalifah: "Aku mengutus kamu semua bukan untuk menumpahkan darah manusia tetapi untuk mengajarkan agama kepada mereka."

  Pendekatan dakwah Islam bercirikan wasyatiyah. Ia terbukti mampu memberi pulangan baik kepada umat Islam. Wasyatiyah diberi makna oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitabnya Al-Khashaishul Ammah Li Al-Islam sebagai keseimbangan di antara dua jalan yang saling bertentangan.
Islam adalah sistem ciptaan Allah yang tidak mungkin bersifat kekurangan atau berlebihan. Ia adalah sistem yang seimbang dan adil bagi seluruh umat manusia seperti firman Allah bermaksud: "Dan demikian (pula) kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu." �Surah al-Baqarah: 143

   Berbeza sistem diciptakan manusia sebagai jalan hidup dan panduan yang tidak mungkin terlepas daripada kekurangan bahkan berlebihan. Hal ini dapat dibuktikan melalui rentangan sejarah dan realiti masa kini.

   Dr Yusuf Al-Qaradhawi menambahkan: "Jika pada kurun ke-19 komunis bertakhta, abad 20 pula kapitalis bermaharajalela, Insya-Allah abad 21 adalah milik Islam."

   Tamadun dan sistem serta fahaman manusia silih berganti. Umat Islam diharapkan mengambil peranan aktif di arena antarabangsa merebut peluang kecemerlangan dalam segala bidang.

   Hal ini tidak akan mampu digalas tanpa memakai pakaian Islam yang sederhana, wasyatiyah, adil dan seimbang. Apa akan jadi jika umat Islam berkurangan dalam mengamalkan ajaran agamanya?

   Ramai yang buta Islam kerana tidak faham syariat Allah bahkan mempersendakan hukum Allah. Ini kerana mereka terikut fahaman Barat yang percaya kepada akal saja bahkan dalil sahih pun mereka tolak kerana tidak selari dengan akal fikiran moden mereka.

   Lalu ditafsirkan al-Quran mengikut kemahuan akal mereka. Ditinggalkan ulama muktabar bahkan dipersoalkan hadis Rasulullah kerana kononnya tidak sesuai dengan tuntutan zaman. Muncul sarjana berani menyuarakan pandangan kontroversi seumpama Dr Siti Musdah Mulia seorang pensyarah Pemikiran Politik Islam di School of Graduates Studies, Universiti Islam Syarif Hidayatullah, Jakarta.

   Beliau juga seorang Profesor Penyelidik di Institut Sains Indonesia yang mendapat pengiktirafan Barat kerana menyokong gay dan lesbian, dengan kenyataannya memeranjatkan: "Homoseksual adalah perkara semula jadi dan ia diciptakan Tuhan. Oleh itu ia dibolehkan agama."

   Ada juga golongan terlalu berlebihan bertindak mengikut hawa nafsu. Panduan wahyu dan ajaran sunnah Rasulullah dianggap tidak cukup hebat bagi mereka. Sehingga ada yang beribadah melebihi ibadah Rasulullah, memberatkan agama yang sememangnya mudah.

   Golongan yang berlebihan dalam mempercayai kuasa ghaib yang kononnya dimiliki orang tertentu pula tenggelam dalam alam khurafat dan syirik. Mereka tersasar dalam mengambil ilmu di luar jangkauan al-Quran dan hadis Rasulullah.

   Ada pula menjalankan hukum melebihi ketentuan Allah sehingga menakutkan umat. Memberi imej keras dan kaku mengenai Islam seakan-akan menjajakan perkara haram saja. Mengenai isu toleransi antara umat beragama, mereka dengan mudah menjatuhkan kafir ke atas orang Islam yang mahu berdiplomasi dengan orang kafir.

   Pada hal, Rasulullah sentiasa menjaga hak kafir zimmi. Golongan yang keras dan berlebihan ini akan sentiasa muncul menjejaskan imej Islam di mata dunia. Pengganas antarabangsa yang melakukan kerja bom bunuh diri sentiasa merekrut pengikut yang mudah dipengaruhi dengan fahaman kononnya menurut mereka daripada sumber Islam.

   Pada hal, mereka menyelewengkan ajaran agama demi kepentingan dan maksud peribadi. Alangkah malang Islam jika umatnya berada pada dua paksi yang berlawanan, satu berlebihan dan satu lagi berkurangan dalam menjalankan ajaran agama.

   Kembalikan kegemilangan Islam dengan sikap wasyatiyah. Berada pada pertengahan, seimbang dan adil. Mengambil Islam daripada sumber asal bukan berat ke kanan atau ke kiri tetapi di pertengahan. Allah ciptakan Islam sebagai sistem yang kukuh, kenapa kita berasa terlebih pandai dari ilmu-Nya?

Penulis ialah Mufti Perlis kini menjadi tamu Pusat Kajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom.





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penjelasan tentang zihar

Aku kemalangan dengan ................