Ummu Kalsom Puteri Nabi

Ummu Kalsum puteri Nabi

UMMU Kalsum binti Muhammad ialah puteri ketiga Nabi Muhammad dengan Siti Khadijah. Ummu Kalsum mempunyai empat adik-beradik perempuan iaitu Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalsum dan Fatimah.
Ummu Kalsum sangat manja dan rapat dengan kakaknya yang bernama Ruqayyah. Kisah hidup Ummu Kalsum sangat rapat dengan kisah hidup kakaknya, Ruqayyah.
Ummu Kalsum dan Ruqayyah bersuamikan anak Abu Lahab dan Ummu Jamil. Ummu Kalsum berkahwin dengan Utaibah. Manakala Ruqayyah berkahwin dengan Utbah. Perkahwinan mereka berlangsung pada hari yang sama.
Selepas agama Islam menyinar, Ummu Kalsum dan Ruqayyah segera memeluk Islam. Hal tersebut menyebabkan Ummu Kalsum dan Ruqayyah terpaksa berpisah dengan suami mereka.
Tidak berapa lama kemudian, Ruqayyah berkahwin dengan Usman bin Affan. Mereka berhijrah ke Habsyah. Tinggal Ummu Kalsum bersama Fatimah dan kedua ibu bapanya.
Ummu Kalsum meneruskan kehidupannya sehingga peristiwa hijrah Nabi Muhammad ke Madinah. Semasa Nabi Muhammd ingin berhijrah ke Madinah, rumahnya di kepung oleh orang kafir Quraisy.
Orang kafir Quraisy sebenarnya berniat jahat ingin membunuh bapa Ummu Kalsum. Namun dengan bantuan Allah, akhirnya bapanya dapat berhijrah ke Madinah.
Tinggal Ummu Kalsum dan Fatimah di Mekah. Ibu mereka sudah pun meninggal dunia. Sejak kematian ibunya, Ummu Kalsum bertanggungjawab menjaga adiknya dan mengambil tahu hal bapanya. Sementara kakaknya, Zainab sudah berkahwin dan tinggal bersama suaminya di rumah lain.
Pada suatu hari datang seorang lelaki bernama Zaid bin Harisah. Zaid adalah anak angkat Nabi Muhammad.
"Mahukah awak berdua ikut saya berhijrah ke Madinah," tanya Zaid.
Pada masa itu, orang kafir Quraisy semakin zalim dan kejam, menyiksa dan membunuh orang Islam di Makkah. Orang kafir Quraisy sangat benci kepada orang Islam.
"Saya rindukan ayah," kata Fatimah kepada Ummu Kalsum.
"Sabar wahai Fatimah. Ini adalah ujian dari Allah," kata Ummu Kalsum.
Ummu Kalsum memandang wajah adiknya itu. Tergambar pula wajah Ruqayyah di matanya.
"Saya juga sangat rindu kepada Ruqayyah. Bagaimanakah keadaannya sekarang," bisik Ummu Kalsum sendirian.
"Baik, kami bersetuju untuk berhijrah ke Madinah. Bilakah kita akan berangkat,"" tanya Ummu Kalsum.
"Siapkan segala bekalan makanan dan keperluan diri. Sekiranya semuanya sudah siap, kita akan terus berangkat ke Madinah," jelas Zaid.
Ummu Kalsum dan Fatimah sudah tidak sabar untuk berjumpa dengan bapa dan kakak mereka di Madinah. Pada hari yang dijanjikan, mereka meninggalkan Mekah menuju Madinah.
Semasa dalam perjalanan Ummu Kalsum berkata kepada Fatimah, "Alangkah sedih dan sayunya hati saya apabila terpaksa tinggalkan Mekah. Di situlah tempat kita dilahirkan".
Fatimah mendengar penjelasan kakaknya lalu berkata, "Bukan itu sahaja. Kita juga terpaksa tinggalkan Zainab sendirian tanpa kita di Mekah".
Mereka adik-beradik perlu berhijrah ke Madinah bagi menyelamatkan diri mereka dari kezaliman orang kafir Quraisy. Akhirnya mereka sampai di Madinah. Di sana mereka dapat berjumpa dengan bapa dan kakak mereka.
Mereka anak-beranak hidup di Madinah dengan aman. Mereka dapat mengerjakan amal ibadah dengan baik tanpa sebarang gangguan. Orang Madinah menyambut baik dan menerima agama Islam. Madinah akhirnya menjadi tempat penyebaran agama Islam.

Pada tahun 2 Hijrah, tentera Islam menghadapi musuh di perang Badar. Pada masa itu sudah dua tahun Ummu Kalsum tinggal di Madinah. Tentera Islam mencapai kemenangan dalam Perang Badar.
Pada saat tentera Islam bergembira dengan kemenangan itu, Ummu Kalsum, Fatimah dan Nabi Muhammad berada di dalam kesedihan. Ruqayyah meninggal dunia akibat diserang demam panas.
Akhirnya Ummu Kalsum berkahwin dengan Usman bin Affan. Mereka hidup dengan bahagia selama enam tahun. Ummu Kalsum kemudiannya menghembuskan nafas yang terakhir setahun sebelum Nabi Muhammad meninggal dunia.

Utusan, 2/2/10

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penjelasan tentang zihar

Aku kemalangan dengan ................

Tajdid Iman: Kegemilangan Islam menerusi wasyatiyah