Kelah Janggut

Kelah Janggut

Oleh Zulhilmi Hat
beritaharian, 2010/04/10

BOY memperoleh kelah seberat 2kg di Lubuk Janggut.

JERANTUT: Misi memancing kelah merah (Tor tambroides) di Lubuk Janggut di sebatang sungai yang dirahsiakan disifatkan berjaya apabila beberapa ekor spesies itu berjaya dijinakkan ke tebing.

Berpegang kepada pepatah ‘di mana ada air di situ ada ikan’, Team Redah - Boy, Mael, Acik, Zul, Dollah, Kamil dan Amin selaku juru pandu mensasarkan lubuk itu selepas melalui perjalanan sukar menunggang motosikal lasak sebelum meredah laluan belantara. Laluan bermula dari Felda Selancar dan memakan masa tujuh jam. 

Penat berjalan meredah hutan hingga lewat petang, akhirnya tiba di lubuk yang dituju. Boy selaku ketua dilantik menjadi ‘jurutera’ mendirikan khemah dan tempat memasak untuk ekspedisi tiga hari empat malam itu. Selepas semua siap, mereka berehat bagi memulihkan tenaga untuk satu aktiviti hebat hari esoknya. Seawal jam 6.30 pagi, Mael bergegas memasang umpan cengkerik untuk teknik memancing dasar. Ini kemudian diikuti Acik, Zul, Dollah, Kamil dan Amin. Boy pula menggemari teknik mengilat selepas melihat kumpulan sebarau menyambar di hulu Lubuk Janggut yang terletak berhampiran khemah.

Tidak sempat mencucuh sebatang rokok, joran aksi sederhana milik Mael melentur kasar dan diikuti joran milik Acik. Dua rakan itu mengambil tempat masing-masing bertarung dengan penuh berhati-hati kerana bimbang tali 15 paun yang dibeli awalnya putus lagi.

Pertarungan mereka berlaku hampir 10 minit dalam lubuk yang kedalaman airnya kedalaman kira-kira 3 meter. Seekor kelah dan ikan baung masing-masing seberat 2 kilogram (kg) berjaya dinaikkan. Mael melonjak kegembiraan mendapat lesen kelah pertama dalam hidupnya.

Boy yang melakukan aktiviti mengilat hingga ke hulu Lubuk Janggut tidak hampa apabila sebarau kira-kira 2 kg sudi menghentam gewang berwarna oren selaman cetek miliknya.
Aktiviti memancing diteruskan sehingga lewat petang dan beberapa ekor kelah turut tewas.

Pada keesokan harinya, perasaan membuak-buak tujuh sahabat untuk sesi teknik memancing dasar semakin menebal selepas hasil lumayan pada hari sebelumnya.

Kali ini, mereka berpecah tiga kumpulan masing-masing ke Lubuk Kayu Mati, Lubuk Ekor Murai dan Lubuk Semut yang dipercayai banyak didiami ikan kelah berbanding Lubuk Janggut. Strategi itu menjadi apabila masing-masing berjaya memperoleh beberapa ekor lagi kelah yang kemudian dilepaskan kembali ke habitat asalnya.

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ADIL & ZALIM

Aku kemalangan dengan ................

Tajdid Iman: Kegemilangan Islam menerusi wasyatiyah